Berita Negeri

1 Feb 2009

Selangor Berjaya Kutip Zakat RM244.4j



SHAH ALAM, 19 Januari - Selangor berjaya mencapai jumlah kutipan zakat sebanyak RM244.4 juta pada 2008 melebihi sasaran awal sebanyak RM222 juta.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa berkata jumlah kutipan itu meningkat sebanyak RM42.3 juta iaitu kira-kira 21 peratus berbanding sebanyak RM202.2 juta pada 2007.

Menurut beliau daripada jumlah kutipan zakat tahun lalu, sebanyak RM232.1 juta adalah zakat harta manakala RM12.3 juta lagi adalah zakat fitrah.

“Jumlah pembayar zakat harta bagi 2008 ialah seramai 146,413 orang, meningkat 17 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu 125,294 orang.“Daripada jumlah tersebut, seramai 34,343 orang merupakan pembayar baru,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Idris Shah dekat sini tengah hari ini.Mohamad Adzib berkata pada tahun lalu, Mais melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan sebanyak RM198.5 juta kepada lapan golongan asnaf termasuk 9,583 orang asnaf fakir dan 5,879 orang asnaf miskin.

Beliau berkata pada tahun ini LZS meletakkan sasaran untuk mencapai kutipan sebanyak RM235 juta dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Saya percaya sasaran ini boleh dicapai tahun ini kalau kita bekerja dengan lebih kuat lagi walaupun keadaan ekonomi merudum,” katanya.Sehubungan itu katanya, LZS meletakkan fokus utamanya tahun ini iaitu ‘transformasi sistem penyampaian agihan zakat’ menggunakan strategi antaranya operasi berlandaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mempercepatkan penyampaian agihan zakat dan mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 10 peratus.

Sementara itu, Mohamad Adzib berkata sebagai tanda keprihatinan terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin, Mais melalui LZS dengan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan menyumbang sebanyak RM1 juta. “Bantuan melalui asnaf fisabilillah ini akan disampaikan sendiri oleh Tuanku melalui Yayasan Amal Selangor dalam masa terdekat,” katanya. Dalam masa yang sama, LZS akan menempatkan tabung untuk rakyat Palestin di semua 22 cawangannya di negeri ini selama satu bulan bagi memudahkan orang ramai khususnya pembayar zakat untuk menyumbang.
Sumbangan juga boleh dibuat melalui portal LZS di http://www.e-zakat.com.my/.

Read more...